MyMIS PENGENALAN Kerajaan sedar akan tanggung jawab untuk memastikan keselamatan aset teknologi maklumat dan komunikasi (information and communications technology), ringkasnya ICT, yang dimiliki atau di bawah jagaan dan kawalannya. Ini termasuk semua data, peralatan, rangkaian dan kemudahan ICT. Tanggung jawab ini juga harus dipikul oleh ahli pentadbiran Kerajaan, penjawat awam atau sesiapa sahaja yang mengakses dan yang menggunakan aset ICT Kerajaan. RASIONAL 2. Tujuan utama keselamatan ICT adalah untuk menjamin kesinambungan urusan Kerajaan dengan meminimumkan kesan insiden keselamatan. Keselamatan ICT berkait rapat dengan pelindungan maklumat dan aset ICT. Ini kerana komponen peralatan dan perisian yang merupakan sebahagian daripada aset ICT Kerajaan adalah pelaburan besar dan perlu dilindungi. Begitu juga dengan maklumat yang tersimpan di dalam sistem ICT. Ia amat berharga kerana banyak sumber yang telah digunakan untuk menghasilkannya dan sukar untuk dijana semula dalam jangkamasa yang singkat. Tambahan pula terdapat maklumat yang diproses oleh sistem ICT adalah sensitif dan terperingkat. Pendedahan tanpa kebenaran atau pembocoran rahsia boleh memudaratkan kepentingan negara. Sebarang penggunaan aset ICT kerajaan selain daripada maksud dan tujuan yang telah ditetapkan, adalah merupakan satu penyalahgunaan sumber Kerajaan. 3. Memandangkan pentingnya aset ICT Kerajaan dilindungi, maka satu Dasar Keselamatan ICT Kerajaan adalah perlu diwujudkan. PERNYATAAN DASAR KESELAMATAN ICT KERAJAAN 4. Keselamatan ditakrifkan sebagai keadaan yang bebas daripada ancaman dan risiko yang tidak boleh diterima. Keselamatan adalah suatu proses yang berterusan. Ia melibatkan aktiviti berkala yang mesti dilakukan dari semasa ke semasa untuk menjamin keselamatan kerana ancaman dan kelemahan sentiasa berubah. 5. Keselamatan ICT adalah bermaksud keadaan di mana segala urusan menyedia dan membekalkan perkhidmatan yang berasaskan kepada sistem ICT berjalan secara berterusan tanpa gangguan yang boleh menjejaskan keselamatan. Keselamatan ICT berkait rapat dengan pelindungan aset ICT. Terdapat empat (4) komponen asas keselamatan ICT, iaitu: (a) Melindungi maklumat rahsia rasmi dan maklumat rasmi kerajaan dari capaian tanpa kuasa yang sah; (b) Menjamin setiap maklumat adalah tepat dan sempurna; (c) Mempastikan ketersediaan maklumat apabila diperlukan oleh pengguna; dan (d) Mempastikan akses kepada hanya pengguna-pengguna yang sah atau penerimaan maklumat dari sumber yang sah. 6. Dasar Keselamatan ICT Kerajaan merangkumi perlindungan ke atas semua bentuk maklumat elektronik bertujuan untuk menjamin keselamatan maklumat tersebut dan kebolehsediaan kepada semua pengguna yang dibenarkan. Ciri-ciri utama keselamatan maklumat adalah seperti berikut: (a) Kerahsiaan—Maklumat tidak boleh didedahkan sewenang-wenangnya atau dibiarkan diakses tanpa kebenaran. (b) Integriti—Data dan maklumat hendaklah tepat, lengkap dan kemaskini. Ia hanya boleh diubah dengan cara yang dibenarkan. (c) Tidak Boleh Disangkal—Punca data dan maklumat hendaklah dari punca yang sah dan tidak boleh disangkal. (d) Kesahihan—Data dan maklumat hendaklah dijamin kesahihannya. (e) Kebolehsediaan—Data dan maklumat hendaklah boleh diakses pada bila-bila masa. Copyright MAMPU Appendix A - 5

Select target paragraph3

Connect to a paragraph
Connect to an entity
Disable highlights
Add to table of contents